LIVERPOOL 3 NORWICH 1

Jurgen Klopp berkata adalah penting untuk Liverpool memastikan Thiago Alcantara kekal cergas selepas dia keluar dari bangku simpanan bagi memacu kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Norwich City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


Rembatan Milot Rashica memberikan The Canaries yang diancam penyingkiran pendahuluan mengejut pada minit ke-48 di Anfield, awal pagi tadi, tetapi The Reds bangkit untuk melanjutkan kemenangan mereka kepada lapan perlawanan.

Sadio Mane kemudian menyamakan kedudukan dengan voli akrobatik dalam separuh masa kedua sebelum Mohamed Salah meletakkan Liverpool di depan dengan gol ke-150 bersama kelab itu.

Luis Diaz turut membuka akaun jaringan bersama The Reds, sembilan minit sebelum tamat untuk mengurangkan defisit Manchester City di puncak EPL kepada enam mata selain mengumpul 100 jaringan musim ini.




Barisan kendalian Klopp itu beraksi tanpa Roberto Firmino yang tercedera dan pengurus tersebut membuat tujuh pertukaran ke atas pasukannya berikutan kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Inter pada pertengahan minggu ini.

Thiago dibawa masuk di samping Divock Origi sebelum Mane menyamakan kedudukan tatkala Klopp mengubah percaturannya dan pemain tengah Sepanyol itu pula menonjol di tengah padang.

Klopp memberitahu Match of the Day: "Thiago dengan pengenalannya, benar-benar segar, benar-benar santai, penuh keyakinan, faktor ini juga membantu.

"Dia seorang pemain yang bagus, kami hanya perlu memastikan dia cergas.

"Diogo Jota tidak bersedia diketengahkan dan kami tidak tahu berapa lama masa yang diperlukannya untuk pulih.

"Bobby Firmino mengalami masalah otot dan akan tersisih buat seketika, jadi kami perlu memastikan barisan pemain saya cergas dan mengekalkan semangat seperti yang dilakukan hari ini."