Jurgen Klopp menjangkakan Thiago Alcantara akan berlumba dengan masa untuk menentang Inter selepas pemain tengah Liverpool itu tercicir dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) gara-gara kecederaan hamstring.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menangis selepas tersisih daripada kesebelasan utama ketika menentang Chelsea di Wembley kelmarin.

Liverpool dijulang selaku juara selepas menang 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti berikutan buntu tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan dan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, yang dimasukkan untuk menangani situasi itu sebaliknya membuat rembatan liar.

Thiago bakal terlepas perlawanan Piala FA menentang Norwich City di Anfield, awal pagi esok, dan berkemungkinan tidak akan beraksi menentang West Ham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.

Begitupun, Klopp tetap menaruh harapan untuk melihat perancang tengah itu dapat beraksi dalam pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Inter yang menyaksikan Liverpool memiliki kelebihan 2-0.

"Dia tidak menangis lagi," kata pengurus The Reds itu kepada pemberita malam tadi.

"Ini adalah saat yang sangat emosional.

"Kami semua terkejut. Saya melihat keseluruhan sesi memanaskan badan itu.

"Saya tidak nampak apa-apa, kemudian saya masuk ke bilik persalinan dan dia telah berada di atas katil rawatan dan memberitahu dia berasakan ada sesuatu yang tidak kena di hamstringnya, jelas ia tidak kelihatan baik."





Menurutnya lagi: “Kami terpaksa membuat keputusan bahawa dia tidak boleh beraksi pada masa ini.

“Bagi seorang pemain yang mungkin telah memenangi paling banyak trofi dalam skuad ini, dia masih memiliki emosi ini. Saya tidak berasa seronok apabila melihat dia tidak berasa begitu baik tetapi saya senang melihatnya tetap berkeinginan untuk terbabit dalam perlawanan akhir.

"Dia sudah kembali sihat tetapi belum cukup cergas lagi. Untuk perlawanan hujung minggu ini, saya tidak pasti; mungkin dia akan diturunkan ketika berdepan Inter."

Thiago telah membuat 20 penampilan bersama The Reds sepanjang musim ini.