Pengendali Terengganu FC (TFC) II, Roshadi Wahab, enggan mengambil mudah cabaran pendatang baharu, Kuching FA, menjelang aksi ketiga Liga Perdana, malam esok.

Sambil mengakui corak permainan TFC II masih belum tersusun, Roshadi berkata beraksi di Kuching akan memberi kelebihan kepada pasukan lawannya itu.

Bekas pemain negeri Terengganu itu juga menjangkakan tentangan sengit diberikan jentera serangan tuan rumah diketuai Leonardo Alves dan Hudson Dias.

Justeru, Roshadi mahu skuad bimbingannya mendapatkan rentak di awal permainan selain meningkatkan prestasi berbanding dua perlawanan terdahulu.

"Dalam perlawanan sebelum ini, ada kesilapan di bahagian bek kiri dan kanan sehingga memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol.

"Kuching FA tewas dua perlawanan berturut-turut tapi mereka bukan calang-calang pasukan terutama di tempat sendiri.

"Begitupun, TFC II tetap akan turun membawa misi kekalkan rekod tanpa kalah," jelasnya.

TFC II ketika ini meraih dua kemenangan selepas dua aksi Liga Perdana walaupun aksi kurang memberangsangkan dalam pertemuan dengan Perak II, Jumaat lalu.

Sentuhan penyerangnya, Jordan Mintah dan Bruno Suzuki, terus dijadikan sandaran Roshadi untuk merobek pintu gol Kuching FA serta menambah koleksi satu gol setakat ini.

"Saya cukup berpuas hati dengan komitmen tinggi mereka.

"Namun masih terlalu awal untuk menilai kekuatan TFC II, tunggu sehingga dua atau tiga perlawanan lagi," tambah Roshadi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC) II