Ketika penyokong-penyokong Johor Darul Ta’zim memyambut piala Liga Super buat kali ke sembilan berturut-turut dengan kemeriahan percikan bunga api Stadium Sultan Ibrahim, berbeza pula di Stadium Darul Aman apabila pemain-pemain dan pasukan kejurulatihan Terengganu FC berpesta meraikan kejayaan Sang Penyu layak ke Piala AFC dan seterusnya menduduki tangga kedua Liga Super setelah seteru mereka tewas kepada lawan masing-masing.

Ini merupakan pencapaian terbaik Terengganu apabila berjaya berada di belakang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dan layak secara merit ke Piala AFC di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Ini sudah pasti akan memberi nafas baru kepada pengurusan Sang Penyu untuk terus memikirkan berapakah jumlah perbelanjaan yang perlu mereka keluarkan dan memastikan pelaburan yang mereka rancangkan itu dapat terus meningkatkan imej dan jenama Terengganu.

Masa inilah pengurusan Sang Penyu perlu bijak dalam menyusun strategi pemasaran mereka supaya jenama Terengganu terus kekal tinggi untuk menarik peminat-peminat mereka terus hadir ke stadium dan seterusnya dapat membeli barangan keluaran kelab serta bijak dalam mengatur perhubungan rapat dengan peminat-peminat.

Melalui aktiviti-aktiviti yang disusun itu, pasti akan mendekatkan peminat-peminat untuk terus memberi sokongan serta menunjukan kesetiaannya kepada kelab dan dengan itu juga pasti akan menarik penaja-penaja untuk bersama kelab.

Daripada peruntukan yang ada itu nanti boleh menambah beberapa pemain tempatan yang berkualiti untuk memastikan Sang Penyu dapat memberi saingan dalam Piala AFC musim hadapan. Ini akan memberi peluang kepada jurulatih untuk membuat banyak pilihan menyenaraikan pemain.

Sementara itu juga pengurusan perlu menggekalkan Nafuzi Zain sebagai pengendali Terengganu kerana semenjak beliau membimbing Sang Penyu telah banyak merubah corak dan permainan sehingga mewujudkan indentiti bola sepak Terengganu. Semenjak mengendalikan Sang Penyu dari 2019, peningkatan demi peningkatan daripada segi prestasi dan ramai pemain berbakat berjaya dilahirkan Nafuzi. Statistik perlawanan juga menunjukan kejayaan Nafuzi di mana daripada 87 perlawanan yang dikendalikannya, 49 kemenangan dan 15 seri dicipta. Itu sudah membuktikan bahawa Nafuzi layak untuk terus membimbing Terengganu selain dengan pencapaian ke pentas Asia musim depan.