Pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi, menjelaskan khabar angin Faisal Halim mahu disunting ejen dari Sepanyol dan Portugal perlu melewati proses perbincangan melibatkan klausa perpindahan pemain itu terlebih dahulu.

Perkembangan itu merupakan perkara positif untuk pemain sayap berkenaan yang menyerlah dalam perlawanan persahabatan membabitkan Harimau Malaya berdepan Jordan dan Uzbekistan minggu lalu, tetapi dengan kontraknya yang hanya akan tamat pada November 2022, klausa perpindahan perlu ditetapkan terlebih dahulu.

Zulfadli tidak mahu mendedahkan nilai klausa perpindahan yang dimaksudkan tetapi ia adalah jumlah yang melibatkan enam angka dan tidak mustahil mampu mencecah jutaan ringgit.

"Klausa ini (tidak semestinya) melibatkan pampasan yang banyak, ia memerlukan persetujuan kelab dengan pemain.

"Apabila mahu meletakan jumlah tertentu, ia harus mendapat persetujuan daripada kelab dan pemain.

"Ia mungkin boleh melebihi enam angka. Kalau tengok pasaran dunia sekarang boleh mencecah jutaan ringgit.

"Walaupun ia melibatkan pemain di Eropah tapi ia sebenarnya tiada had, cuma terpulang kepada kepada pemain dan kelab," jelasnya di Nadi Arena sebentar tadi.





Pengurus itu turut mendedahkan kelibat 'Mickey' menarik perhatian ejen pemain dari Portugal dan Sepanyol sebaik menamatkan dua aksi persahabatan dengan Uzbekistan dan Jordan, minggu lalu.

"Mickey masih tidak menyangka ia berlaku, eloklah ia diserahkan kepada ejennya dan kalau ada apa-apa perkembangan barulah kami bincang di peringkat pengurusan.

"Untuk pengetahuan, Mickey juga mempunyai klausa pelepasan dengan kami."