Penyerang Manchester United pasti mengalu-alukan kreativiti bintang baru, Christian Eriksen, di bahagian tengah, demikian menurut pengurus, Erik ten Hag.

Eriksen menolak peluang untuk melanjutkan perjanjian jangka pendeknya dengan Brentford, sebaliknya menyertai United dengan kontrak tiga tahun.

Pemain antarabangsa Denmark itu memberi impak segera apabila kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam pusingan kedua musim lalu apabila menjaringkan satu gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam 11 penampilan.

30 peluang yang diciptanya untuk The Bees sejak Mac hingga berakhir kempen lalu hanya diatasi oleh Martin Odegaard (38) dan Kevin De Bruyne (42).

Eriksen pernah mewakili Ajax, Tottenham dan Inter sebelum mengalami serangan jantung dalam Euro 2020 tahun lalu.

Dia masih belum berhubung dengan rakan sepasukan barunya yang sedang mengikuti jelajah pra-musim di Australia, tetapi Ten Hag percaya barisan penggempurnya pastinya mendapat manfaat daripada perancang itu.

"Dia pemain berpengalaman. Dia beraksi di negara luar seperti Itali, di Belanda dan paling lama di England, jadi dia mengenali selok belok Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya dalam laman sesawang rasmi kelab itu.




"Ia merupakan satu kelebihan mutlak untuk memilikinya. Saya fikir dia seorang pemain bola sepak yang hebat dan saya fikir peminat akan seronok menontonnya.

"Dia kreatif dan dia ada idea, khususnya penyerang kami juga akan gembira kerana dia mampu melibatkan mereka dalam permainan.

"Dengan kehadirannya, ia menjelaskan segala-galanya memandangkan kami sangat cerewet merekrut pemain.

"Bukan tujuan untuk mendapatkan pemain semata-mata, sebaliknya pemain yang sesuai.

"Saya amat gembira kerana kami berjaya memperoleh Christian Eriksen."