Erik ten Hag akhirnya disahkan sebagai pengurus Manchester United yang seterusnya, menepati ramalan dan ura-ura sejak hampir sebulan lalu.

Apabila dikenang kembali kepada lebih kurang sembilan tahun lalu, sewaktu David Moyes dilantik sebagai pengganti Sir Alex Ferguson, rata-rata perasaan penyokong United ketika itu adalah keterujaan.

Pengurus baru membawa gaya baru, mentaliti baru, sesuatu yang segar.

Setelah Moyes terbukti gagal dalam tugasnya selepas setahun, rasa teruja dalam menantikan pengurus baru berterusan datang dan pergi.

Louis Van Gaal, yang digembar-gemburkan datang membawa pengalamannya yang kaya, gagal selepas dua tahun.

Si istimewa, Jose Mourinho, pengurus yang terbukti kejayaannya bersama kelab-kelab tersohor, akhirnya dibenci oleh penyokong dan juga pemainnya sendiri, angkat kaki selepas dua tahun juga.

Ole Gunnar Solskjaer, bekas pemain legenda, dilantik kerana faham akan selok-belok kelab dan kejayaan menewaskan Paris Saint-Germain dengan penuh bergaya, akhirnya dilabelkan sebagai pengurus paling teruk antara semua.

Ralf Rangnick, guru kepada Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel, bapa 'Gegenpressing', langsung tiada impak.

Sebagai penyokong Manchester United sejak bertahun-tahun lalu, adakah ketibaan Ten Hag wajar disambut dengan rasa teruja ataupun menyampah?

Sudah terlalu lama penyokong diminta untuk bersabar, malangnya, buat jangka masa yang belum pasti berapa lamanya, itulah yang harus mereka terus lakukan ketika ini.



Tugas Ten Hag teramat sukar, tetapi ini adalah masa yang paling sesuai untuk melaraskan semula segala kesilapan yang menghantui United selama ini.

Terlalu banyak masalah yang harus ditangani, di manakah harus Ten Hag bermula?

Rangnick telah mendedahkan bahawa rombakan besar-besaran bakal berlaku, seharusnya di situlah permulaan yang sepatutnya.

Paul Pogba, Edinson Cavani, Jesse Lingard, Nemanja Matic, Phil Jones dan Juan Mata hampir pasti bakal disingkirkan, memberi ruang dan bajet untuk United membawa masuk pengganti yang sepatutnya.

Menurut laporan akhbar The Guardian, pemain-pemain yang seharusnya dikekalkan oleh Ten Hag boleh dibahagikan kepada kategori tertentu.

Pertama, pemain yang sedang berada di puncak kerjaya mereka -- Bruno Fernandes dan Raphael Varane.

Kedua, pemain yang bakal memasuki fasa puncak tidak lama lagi -- Jadon Sancho, Marcus Rashford, Scott McTominay dan Donny van de Beek yang sedang dipinjamkan ke Everton.

Ketiga, selaras dengan reputasi Ten Hag yang mahir membangunkan bakat pemain muda, nama-nama seperti Hannibal Mejbri, Alejandro Garnacho dan James Garner wajar diberikan tumpuan.

Mereka yang tidak tersenarai, antaranya Cristiano Ronaldo dan Harry Maguire, seharusnya dinilai dengan lebih lanjut sama ada khidmat mereka bakal menguntungkan kelab ataupun sekadar memikul biawak hidup semata-mata.



Laporan The Daily Mail mengatakan bahawa Ten Hag bakal diberikan bajet sebesar £200 juta (RM1.1 bilion) untuk membawa masuk nafas-nafas baru serta nama-nama besar yang dinilaikan sesuai.

Antara yang disebut-sebut adalah Harry Kane dan Declan Rice, namun nilai gabungan kedua-dua pemain ini sahaja hampir pasti melebihi bajet yang diperuntukkan, itu pun jika mereka berminat untuk menyertai United.

Selain aspek pemain, apa yang lebih penting lagi adalah daripada segi struktur serta pengurusan kelab di sebalik tabir.

Sesuatu yang Ajax miliki dan United tidak ada ialah keteraturan dan kestabilan daripada segi kelab dikendalikan.

Seharusnya United mula sedar bahawa jika aspek ini tidak diperbetulkan, pengurus sebijak mana dan pemain sehebat mana pun tidak akan mencukupi untuk mengembalikan kejayaan yang didambakan.

Akhir sekali, seperti yang disebutkan dari awal, adalah faktor kesabaran.

Usah harapkan Ten Hag membawa keajaiban dengan menjulang trofi pada musim pertamanya bertugas.

Dengan kadar kerosakan yang dialami United kini, tempoh masa proses pemulihan paling realistik adalah tiga hingga empat tahun lamanya, itu pun jika masalah-masalah yang sedia ada dibuktikan berjaya ditangani secara perlahan-lahan.

Benar, kesabaran sebegini menderitakan, tetapi ia tetap lebih baik berbanding dengan terus menelan 'racun' yang tidak henti-henti berlegar di dalam saraf United sejak sekian lama.