MAN UTD 1 RAYO VALLECANO 1

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, memuji prestasi Lisandro Martinez dan percaya muka baru itu akan membentuk kerjasama yang mengagumkan di samping Raphael Varane.


Pemain Argentina itu mencuri perhatian dalam penampilan sulungnya untuk kelab itu dalam perlawanan akhir pemanas badan ketika seri 1-1 dengan Rayo Vallecano di Old Trafford, tengah malam tadi.

Martinez merupakan pemain yang cukup dikenali Ten Hag selepas mereka bekerjasama di Ajax dan pengurus The Red Devils itu membayangkan bahawa pertahanan tengah berkenaan berkeupayaan membentuk gandingan sempurna buat Varane sempena musim depan, sekali gus mencetuskan keraguan terhadap status Harry Maguire sebagai sosok penting dalam kesebelasannya.

"Ia adalah kombinasi yang sangat baik dengan Rapha. Mereka beraksi dengan mantap, seronok untuk disaksikan. Dia menyesuaikan diri dengan baik di dalam pasukan," katanya kepada MUTV.

Penjaga gol United, Tom Heaton, turut kagum dengan prestasi rakan sepasukan barunya itu.





"Itulah yang berlaku sepanjang minggu ini, saya sangat seronok dapat beraksi dengannya hari ini. Saya fikir dia akan menjadi pemain terbaik kelab," katanya kepada MUTV.

“Saya fikir dia beraksi cemerlang hari ini dan saya pasti semua orang tidak sabar untuk menontonnya tahun ini.

"Saya rasa persoalan mengenai ketinggiannya sedikit tidak adil. Apa yang dia mampu tawarkan, fizikalnya, cara dia menggunakan badannya, lompatannya dan apa yang dijelmakan kepada anda adalah daripada segi gerakan, penguasaan bola serta personaliti yang bijak. Saya fikir dia akan memberi sumbangan yang lebih besar lagi buat pasukan.

"Malah, anda sudah boleh melihat kemampuannya minggu ini. Dia membawa satu personaliti yang lebih besar, saya rasa dia bertindak cemerlang hari ini dan saya berharap berkesempatan bermain dengannya lebih kerap tahun ini."