CADIZ 0 BARCELONA 0

Tekanan yang dihadapi Ronald Koeman kian memuncak selepas Barcelona terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan terikat 0-0 dengan Cadiz dalam perlawanan LaLiga di Estadio Nuevo Mirandilla awal pagi tadi.

Spekulasi mengenai masa depan ketua jurulatih berbangsa Belanda itu kian hangat diperdebatkan sejak permulaan kempen LaLiga musim ini, di mana Barca keciciran mata ketika menentang Athletic Bilbao dan Granada dalam empat perlawanan pertama selain turut tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Keadaan kian memburuk buat pasukan Catalan itu di Andalusia apabila Cadiz kental bertahan dan mereka pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Frenkie de Jong dilayangkan kad kuning kedua pada pertengahan babak kedua.

Satu mata yang diperoleh itu setidak-tidaknya meletakkan Barca di tangga ketujuh liga dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Real Madrid, manakala Cadiz pula memanjat ke tangga ke-14.

Ketika Barca muncul pasukan yang lebih memberikan tekanan pada awal permainan, mereka tidak dapat melakukan sebarang percubaan sehingga minit ke-30, di mana percubaan lemah Memphis Depay diselamatkan penjaga gol, Jeremias Ledesma.

Penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen, kemudian menepis keluar percubaan dari jarak 25 ela Alvaro Negredo -- tidak lama selepas babak kedua bersambung -- sementara Depay pula gagal menyepak kemas peluang yang dimilikinya di sisi padang bertentangan.

Ledesma menolak keluar percubaan Depay dari luar kotak penalti sebelum hasrat Barca untuk mendapatkan satu keputusan positif musnah sebaik De Jong dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Alfonso Espino pada minit ke-65.