Penyerang import Terengganu FC, Tchetche Kipre, menyedari kebimbangan penyokong pasukan itu berkenaan ketumpulan gandingannya dengan Kpah Sherman di bahagian depan.

Dua aksi tanpa tiga mata sudah cukup untuk menerbitkan kegusaran peminat setia skuad Peteh itu ditambah dengan kemarau jaringan gandingan penyerang berkenaan dalam empat perlawanan terakhir.

Ramai yang berpendapat prestasi dua penyerang itu bukan lagi di tahap terbaik, terutama apabila kerap terlepas peluang keemasan di depan gawang tetapi Kipre menuntut kesabaran daripada semua pihak, termasuk ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Menjelang aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Gong Badak hujung minggu ini, Kipre berkata kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom: "Memang boleh dikatakan kami masih belum melakukan sesuatu yang bagus tetapi kami kini berada dalam keadaan fizikal yang amat baik.

"Kami juga sudah agak lama berehat daripada bermain, jadi saya mahu memberitahu semua orang bahawa tiada apa-apa untuk digusarkan.

"Pasukan lain mungkin sudah bermain sebanyak 10 atau 11 perlawanan tetapi kami baru bermain dalam tujuh perlawanan.

"Dia (Nafuzi) mempunyai hak kerana dia ketua jurulatih kami, jadi kami juga perlu memahaminya.

"Saya tidak lihat kami akan mengalah kerana tidak dapat menjaringkan gol dalam tiga atau empat perlawanan tetapi inilah bola sepak, kami hanya perlu meneruskannya dan seandainya kami terus mencuba, ia pasti akan tiba," katanya.

*Kredit foto: Terengganu FC