Bekas ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menafikan terdapat desakan sehingga dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya hari ini.

Tegas pengendali berusia 53 tahun itu, keputusan itu diambil kerana dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF di Singapura baru-baru ini.

Cheng Hoe memuktamadkan keputusannya selepas menghantar laporan bedah siasat kegagalan skuad negara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF -- hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang Indonesia dan Vietnam.

Ia dilihat sebagai satu tindakan drastik memandangkan pembentangan mengenai kegagalan itu bersama Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum bermula.

Bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab, Cheng Hoe enggan menunggu lebih lama dan menegaskan bahawa peletakan jawatan itu bukan atas desakan mana-mana pihak.

Sama ada keputusan itu Ikhlas daripada Cheng Hoe atau tidak, umum menyedari bahawa FAM memerlukan perubahan secara dalaman seandainya tidak mahu perkara yang sama berlarutan.

"Saya tidak didesak oleh mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan," katanya dalam satu temu bual eksklusif Astro Arena hari ini.

"Ia adalah daripada isi hati saya dan bukan mudah untuk membuat keputusan paling drastik ini sepanjang karier saya sebagai jurulatih.

"Saya tidak rasa saya dikambinghitamkan. Sebagai jurulatih, sudah pasti kita mahu menyasarkan sesuatu dan jika saya gagal, kerana itulah saya meletakkan jawatan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Cheng Hoe menambah: "Saya masih tiada apa-apa perancangan untuk masa depan. Saya rasa saya perlukan masa untuk bersama keluarga kerana sudah sekian lama saya meninggalkan mereka untuk bola sepak.

"Bola sepak masih lagi keghairahan saya dan saya rasa saya perlu meneruskan karier saya sebagai jurulatih pada masa akan datang.

"Sudah pasti kita tidak tahu bila tetapi lambat laun, saya pasti perlu meneruskan karier saya sebagai jurulatih," katanya lagi.