Penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi, kekal positif dalam ujian sampel B selepas keputusan itu diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Syihan kekal positif dalam ujian sampel B ekoran penyalahgunaan bahan terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ketika menyertai Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 di Chiangshu, China baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak pasti bentuk hukuman yang akan diterima pemain itu kerana ia hanya akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Kami telah mendapatkan keputusan bahawa Syihan positif doping menggunakan bahan terlarang. Kami masih lagi menunggu daripada pihak AFC mengenai sebarang hukuman yang bakal dikenakan," kata Hamidin.

Ia sekali gus menafikan kelibat Syihan dalam Kejohanan Bolasepak Pra-Sukan Asia membabitkan Bahrain, Korea Selatan dan Indonesia selaku pasukan tuan rumah, April depan.

Dalam perkembangan berbeza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti nama-nama penyokong yang sering melakukan kekacauan dalam saingan Liga Super dan sekiranya berulang lagi, denda akan dikeluarkan kepada mereka yang terlibat.