Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, bimbang isu kelewatan membayar gaji pemain akan meningkatkan penularan kes rasuah dalam kalangan pemain bola sepak.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan enam lagi pasukan dan kelab tempatan, termasuk Perlis, berhutang sejumlah RM4.48 juta kepada pemain dan juga pegawai.

Paling tinggi dalam tuntutan gaji dan bayaran-bayaran adalah membabitkan enam pemain Felda United dengan jumlah keseluruhan RM3.81 juta sambil pasukan lain yang terbabit dalam perintah itu ialah Perlis, PDRM, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC (TCFC).

Perlis -- yang kembali ke Liga Perdana dan membawa masuk beberapa nama besar seperti Safee Sali, Khyril Muhymeen Zambri serta Azmi Muslim -- menjadi pasukan yang paling mencuri perhatian bagi kempen 2019 apabila dilaporkan tidak melakukan pembayaran gaji selama dua bulan.

Lebih memburukkan keadaan, skuad futsal Perlis turut menerima tamparan setelah ketua jurulatih, Qusmaini Noor Rusli, mengakui beberapa pemain utamanya bakal "angkat kaki" menyertai pasukan lain ekoran isu tunggakan gaji.

Situasi itu membuatkan Syed Saddiq bimbang ia akan memggalakkan gejala rasuah kembali menular seperti yang pernah dilalui bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.

"Semua pihak tidak boleh bersikap remeh-temeh (dalam soal gaji) kerana ia berkait rapat dengan kebajikan atlet," kata Syed Saddiq.

"Mentaliti mereka dalam keadaan sukar apabila mewakili skuad negara.

"Isu ini perlu ditangani tetapi tidak bolehlah mengharapkan kerajaan sahaja, semua pihak harus bekerjasama," ujarnya.