Apabila berjaya membenam Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV dalam pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia, ia memberi kelebihan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memastikan anak didik Hector Bidoglio itu selangkah ke separuh akhir sebelum bertandang pada pusingan kedua esok di Stadium Sultan Ibrahim.

Namun, yang lebih menarik untuk penulis nantikan pada perlawanan itu, apakah pengendali dari Argentina tersebut menurunkan Syafiq sebagai pengempur utama Harimau Selatan?

Ini yang akan menjadi pertaruhan Bidoglio kerana jika diperhalusi daripada segi prestasi Syafiq dalam perlawanan pertama itu, dia telah menunjukkan prestasi yang baik dan telah berjaya menjaringkan satu gol untuk Harimau Selatan.





Bukan itu sahaja, dia juga mampu menarik perhatian pertahanan lawan melalui larian-lariannya dan ini akan memberi ruang kepada rakan-rakan di midfield untuk mengambil ruang yang ditinggalkan seperti Leandro Velazquez yang gemar melakukan gelecekan.

Selain itu juga pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang, itu juga mampu mengunakan kebijaksanaan melakukan tandukan terutama di dalam kawasan penalti.

Jika diletakkan sebagai pemain utama sudah tentu ia akan memberi kelebihan kepada Syafiq untuk terus meningkatkan keyakinan diri serta terus memburu jaringan.




Walaupun sepanjang tahun ini baru dua gol sahaja dijaringkan selepas kembali daripada dipinjamkan ke Kedah Darul Aman, masih ada ruang dan peluang untuk Syafiq kembali pada prestasi asalnya walaupun sentiasa dibayangi pemain-pemain import.

Lihat sahaja bagaimana Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Afiq Fazail yang kerap diturunkan telah buktikan bahawa mereka juga mampu memberi manfaat kepada pasukan.

Bukan itu sahaja sekiranya Bidoglio menyenaraikan Syafiq dalam kesebelasan utama sudah tentu ia melegakan pelatih skuad negara Kim Pan Gon kerana ia akan memberi banyak pilihan kepadanya untuk merencanakan strategi dalam mempersiapkan pasukan Malaysia untuk kejohanan Piala AFF bulan depan.

Terpulang kepada jurulatih Harimau Selatan itu jika dia bijak mengukur kemampuan lawan sudah tentu ia pasti akan memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan seperti Safiq, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid kerana ketika ini Harimau Selatan sudah selangkah ke separuh akhir dan lawan pula menggunakan pemain tempatan sahaja.

Seharusnya peluang Syafiq untuk diletakkan sebagai pemain utama amat tinggi jika jurulatih Harimau Selatan berani mengambil risiko.