"Bahasa tubuh dan air muka pun saya boleh faham," kata penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC, Shukor Adan, sebagai amaran buat pemainnya seandainya ada yang mahu 'mengelat' dalam sesi latihan harian.

Daripada pemain dan kini beralih kepada bidang kejurulatihan, Shukor mengakui proses peralihan itu memerlukan masa untuk dia berasa selesa dengan keadaan dan kedudukannya ketika ini.

KL City sudahpun memulakan sesi latihan mereka bagi musim 2022 walaupun masih belum melibatkan keseluruhan pemain dan ketua jurulatih, Bojan Hodak, yang masih dalam tempoh kuarantin.

Apa yang menarik, sesi latihan sepanjang minggu ini dikendalikan oleh bekas kapten, Shukor, yang kini diberikan tugas baru sebagai penolong jurulatih skuad Warga Kota itu.

Sebagai rekod, Shukor mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak sebaik KL City memenangi Piala Malaysia pada 30 November lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, Shukor berkata: "Selepas bersara, saya beralih ke bidang kejurulatihan tetapi ia satu perkara yang agak sukar untuk kita terus beralih daripada pemain kepada jurulatih.

"Jadi, saya banyak belajar daripada mereka semua (barisan kejurulatihan) dan staf juga banyak membantu daripada segi kejurulatihan.

"Sedikit demi sedikit, saya akan melangkah lebih jauh.

"Pemain-pemain, kita boleh nampak daripada bahasa tubuh dan air muka mereka dan selama saya menjadi ketua pasukan mereka pun saya banyak membantu daripada aspek itu.

"Jadi, saya rasa untuk mereka menipu saya memang susahlah sebab ia berdasarkan pengalaman saya bersama mereka.

"Saya mengenali mereka, saya memahami mereka, jadi saya harap mereka juga dapat membantu saya, terutama sepanjang empat, lima hari ini," katanya.