Skuad bola sepak Pulau Pinang enggan kejayaan ke separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 hanya terhenti di situ sahaja.

Sebaliknya, jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mahu melangkah lebih jauh dengan menyasarkan untuk ke perlawanan akhir.

Justeru, dia dan barisan kejurulatihannya kini sedang giat merencanakan percaturan dan strategi lebih baik bagi mengatasi pasukan Wilayah Persekutuan (WP) dalam aksi separuh akhir esok.

“Ini satu pengalaman manis sebagai jurulatih yang baru dan saya gembira dengan kejayaan mara sehingga ke separuh akhir. Saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pemain melayakkan diri ke final.

“Kami sudah sampai ke separuh akhir, jadi apa gunanya kalau hanya berhenti dalam separuh akhir dan sudah tentu kami mengimpikan untuk ke perlawanan akhir.

"Saya akan sediakan pasukan dengan perancangan terbaik untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Semalam, skuad Pulau Pinang mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Kelantan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila aksi 120 minit berakhir 2-2.

Skuad WP pula mara selepas menundukkan Johor 5-4 juga menerusi sepakan penalti selepas masing-masing terikat 1-1.

Mengulas mengenai perlawanan suku akhir itu, Akmal mengakui terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki sebelum menentang WP dalam separuh akhir pada Rabu.

Justeru, Akmal Rizal berharap barisan pemainnya dapat mengekalkan momentum kemenangan tersebut sambil mengingatkan mereka agar tidak memandang rendah dengan kebolehan lawan memandangkan WP bukanlah pasukan sebarangan selepas mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.

“Masih ada kesilapan yang perlu diperbaiki dalam masa sehari ini sebelum turun bagi aksi separuh akhir. Perlawanan separuh akhir ini sudah pasti menjanjikan satu lagi aksi yang cukup sukar buat kami.

“Tetapi saya lihat pemain sudah bersedia cuma saya perlu menilai terlebih dahulu keadaan pemain yang sesuai dan mampu untuk diturunkan," katanya.



Kredit: Sinar Harian