Skuad bola sepak Kedah yakin mereka mempunyai ramuan untuk menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila bakal membuat perhitungan dengan tuan rumah, Perak, dalam aksi final malam ini bagi menamatkan penantian pingat emas sejak 1986.

Kedah merupakan juara edisi pertama Sukma 1986 di Kuala Lumpur.

Mereka hampir mencipta sejarah sekali lagi pada 2006, namun tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Terengganu yang menyaksikan mereka sekadar membawa pulang perak.

Kini, selepas 32 tahun, skuad Kedah yang dibimbing bekas pemain utama skuad Hijau Kuning, Victor Andrag, yakin mereka mampu mengatasi Perak berdasarkan prestasi semasa sejak peringkat kumpulan lagi.

Buktinya, mereka sudah pun meledak 10 gol setakat ini dan hanya bolos tiga kali.

"Sudah tentu pertembungan ini agak sengit kerana Kedah bakal berdepan sokongan padu tuan rumah.

"Kami akan buat yang terbaik, saya yakin dengan para pemain dan keupayaan pegawai saya.

"Kami bertekad untuk melakukan sesuatu," ujarnya.

Kekecewaan dalam final Piala Presiden Ogos lalu turut menjadi azimat untuk Kedah menyerlah pada edisi kali ini dan keyakinan mereka makin bertambah setelah menebus kekecewaan itu dengan menundukkan juara Piala Presiden, Terengganu, di peringkat separuh akhir 2-1.

"Kami fokus untuk perlawanan final.

"Sesudah kalah dalam final Piala Presiden, kami mahu membawa pulang emas untuk Kedah," ujar kapten Kedah, Mohd Fadzrul Daniel.