Dua atlet judo wanita negara, Nik Norlydiawati Nik Azman dan Siti Nor Aisyah Shahabuddin, turun dengan misi berbeza apabila menghadapi Sukan SEA edisi ke-29 ini.

Norlydiawati menyasarkan untuk meraih apa jua warna pingat selepas kecewa dalam dua edisi terdahulu sementara Aisyah yang baru berusia 18 tahun berhajat untuk mencipta kejutan.

"Saya agak berdebar kerana sebelum ini tidak berpeluang untuk merebut pingat.

"Kali ini saya akan cuba sehabis baik untuk menang.

"Ini peluang untuk saya merebut pingat kerana bukan senang untuk beraksi di tempat sendiri," kata Norlydiawati yang muncul juara Kejohanan Judo Kebangsaan 2017 kategori 63kg wanita selain ditabalkan Atlet Wanita Terbaik, Mac lalu.

Sementara itu, menurut Aisyah pula: "Dari segi pengalaman, dari awal-awal lagi saya sudah bersedia.

"Memandangkan saya paling muda dalam skuad Malaysia, saya harap dapat menyumbang pingat dalam Sukan SEA kali ini."