Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, boleh menarik nafas lega selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pasukan yang bersaing dalam Liga Super menunda beberapa perlawanan bagi memberi peluang kepada persediaan untuk pemainnya menghadapi Sukan SEA Hanoi, bulan depan.

Justeru, Maloney menyambut baik kerjasama dan sokongan yang diberikan semua pihak.

Semalam, MFL mengumumkan penundaan perlawanan Liga Super membabitkan aksi minggu ketujuh hingga ke-10.

Ia selepas badan pengelola saingan tempatan itu bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab Liga Super sebelum pihak-pihak terbabit akhirnya mencapai persetujuan.

"Ia satu berita yang amat dialu-alukan oleh saya, kakitangan dan seluruh pasukan ini.

"Ia akan memberi ruang buat kami membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi Sukan SEA dan dapat mengetengahkan pasukan terkuat.

"Kami juga menggunakan kesempatan ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Asia B-23, Jun depan, jadi saya berpeluang membimbing pasukan yang disertai pemain utama," katanya.




Pengendali dari Australia itu juga mahu menjadikan Sukan SEA sebagai batu loncatan sebelum mereka menghadapi misi utama Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

"Saya sangat hargai usaha MFL dan FAM kerana berikan ruang ini dan menjadualkan semula liga.

"Ia boleh memberi faedah kepada semua orang. Kami merangka beberapa perlawanan ujian selain sesi latihan menjelang perlawanan pertama Sukan SEA .

"Kami perlu menerapkan keserasian untuk menghadapi Sukan SEA dengan mantap, seterusnya mengharungi Piala Asia B-23," katanya.

Malaysia akan membuka kempen berdepan Thailand pada 7 Mei depan disusuli cabaran Laos, Singapura dan Kemboja selepas diundi dalam Kumpulan B.