MALAYSIA 3 LAOS 1

Skuad B-23 negara muncul pendahulu Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi.

Dua gol daripada Luqman Hakim Shamsudin dalam separuh masa berbeza selain satu jaringan daripada Syahir Bashah sudah cukup untuk pasukan bimbingan Brad Maloney itu memperoleh kemenangan kedua daripada dua perlawanan selepas menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan sebelumnya.

Malaysia menguasai hampir keseluruhan aksi sejak awal permainan dan sering merencanakan gerakan serangan, terutama menerusi Luqman Hakim dari sebelah kanan tetapi kekurangan naluri pemusnah di depan gawang.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada minit ke-36 apabila penyerang KV Kortrijk itu menerima lambungan baik Nik Akif Syahiran Nik Mat sebelum melakukan gerakan solo menarik dari sebelah kiri untuk menamatkan penantian jaringan dengan rembatan ke penjuru kanan bawah gawang biarpun bola sempat terbias ke kaki pertahanan lawan.

Dua minit sebelum menuju ke bilik persalinan, pemain Selangor FC, Syahir, menggandakan kelebihan milik Malaysia dengan melakukan rembatan terus dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Keo-Oudone Souvannasangso, buat kali kedua.

Tiada sebarang petanda skuad muda negara -- yang membariskan keseluruhan pemain bawah usia tanpa menggunakan kelonggaran tiga slot pemain lebih usia -- akan mengendurkan asakan dalam babak kedua.

Luqman Hakim memastikan namanya terpahat selaku penjaring buat kali kedua dalam edisi kali ini apabila menolak masuk lambungan Azfar Fikri Azhar dari sebelah kanan pada minit ke-67 -- yang menjadi sepakan terakhirnya dalam perlawanan itu sebelum dikeluarkan kerana kecederaan.

Laos meningkatkan momentum pada penghujung permainan dan berhasil merapatkan kedudukan hasil sentuhan Visith Bounpaserth pada minit ke-85.

Jaringan itu meningkatkan semangat mereka untuk terus memberikan asakan tetapi barisan benteng negara kental bertahan sehingga ke wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, pasukan negara kini mendahului Kumpulan B dengan 6 mata selepas dua perlawanan, dua mata mengatasi pencabar terdekat, Singapura, yang telah beraksi lebih satu perlawanan.

Barisan kendalian Maloney itu seterusnya akan menghadapi pasukan negara jiran berkenaan di venue sama pada Sabtu ini.



*Kredit foto: FAM