Penyerang Azul Claro Numazu, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mula menjalani latihan bersama skuad B-23 negara menjelang Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu bertekad untuk menggunakan sepenuhnya pengalamannya beraksi di Jepun sejak 2019 bagi membantu skuad negara memenangi ibu segala pingat dalam temasya itu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, dia berkata: "Sudah semestinya dan kerana itulah saya balik ke Malaysia. Memang saya nak beri yang terbaik untuk membantu pasukan dan negara.

"Impian setiap pemain bola sepak adalah untuk bermain buat negaranya, jadi apabila saya balik ke sini, saya mahu memberikan segala-galanya dan harap-harap kita akan mendapatkan keputsuan yang baik dalam dalam Sukan SEA nanti."

Ditanya adakah pengalaman dalam Liga Jepun akan membantunya bersama pasukan kebangsaan, Hadi Fayyadh menambah: "Sudah semestinya kerana Jepun adalah raja bola sepak di Asia.

"Saya rasa, dengan apa yang saya belajar di Jepun, saya dapat menggunakannya untuk membantu skuad B-23 Malaysia untuk tahun ini."

Skuad negara akan ke Filipina bagi siri perlawanan persahabatan menentang Timor Leste dan pasukan tuan rumah itu, masing-masing pada 29 April dan 1 Mei ini.

Bagi saingan Kumpulan B, Sukan SEA Hanoi 2021, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos pada 11 Mei, Singapura pada 14 Mei dan Kemboja pada 16 Mei ini, dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.