Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhidin Mohd Salleh, telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung insiden layangan kad merah dalam perlawanan di antara T-Team dan Kedah, kelmarin.

Subkhiddin meluahkan kekecewaannya terhadap sikap penyokong dan pemerhati bolasepak tanahair yang mempertikaikan keputusan yang dibuat pengadil perlawanan berkenaan yang dikatakan berat sebelah.

Beliau, yang telah meneliti rakaman video tersebut, mendapati pengadil, J. Suresh, telah membuat keputusan yang betul dengan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, tetapi tidak kepada pemain T-Team, Mohd Fakhrurazi Musa.

"Setelah meneliti video, saya dapati kedua-dua pemain berpeluang untuk memainkan bola tetapi sudah tentu dalam corak yang berlainan.

"Pemain Kedah berpeluang untuk melakukan hantaran (passing) kepada rakan sepasukan secara adil, manakala pemain T-Team pula berusaha untuk menghalang pergerakan pemain Kedah.

"Malangnya, usaha pemain T-Team tersasar dan tindakan ‘reckless’ (gegabah) yang dilakukannya hampir mengenai tepat ke kaki pemain lawan," kata Subkidin menerusi laman web rasmi FAM.

"Pengadil sudah tentu perlu melayangkan kad merah jika sekiranya cabaran dengan kaki (kasut bola berstud) mengenai tepat ke bahagian kaki pemain Kedah.

"Bagaimanapun, dalam insiden berkenaan, cabaran/tackle yang dilakukan oleh pemain T-Team tidak seperti yang dimaksudkan, ia sama ada tersasar atau hanya mengenai sebahagian kecil sahaja.

"Oleh itu, tindakan pengadil adalah tepat apabila memberikan kad merah kepada pemain Kedah (kesalahan berkelakuan ganas) dan kad kuning kepada pemain T-Team disebabkan kesalahan 'reckless' yang dilakukan sewaktu melakukan cabaran terhadap pemain lawan."

Subkhiddin juga menyentuh tentang mutu pengadilan perlawanan Kelantan-Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 April dan juga aksi Perak menentang T-Team pada 8 April.

Justeru, Subkhiddin tidak mahu penyokong membuat tuduhan tidak berasas terhadap pengadil perlawanan.