Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, telah membawa Raheem Sterling ke 'dunia lain' dan penyerang itu layak untuk menjadi pemain terbaik tahun ini, kata Yaya Toure.

Sterling, 24, telah membintangi City musim ini dengan menghasilkan 15 gol dan sembilan bantuan jaringan daripada 28 penampilan Liga Perdana Inggeris.

Legenda City, Toure, percaya Guardiola wajar dipuji kerana membawa Sterling mengecapi satu tahap berbeza musim ini.

"Raheem, adik kecil saya, menyertai pasukan itu ketika dikendalikan (Manuel) Pellegrini.

"Sejak ketibaan Pep, Raheem sudah berada di dunia lain. Dia telah sempurna," katanya kepada The Mirror.

"Pep telah memberikannya keyakinan yang diperlukan.

"Ketika dia mewakili Liverpool, saya juga takut kepadanya kerana dia amat rendah dan pantas.

"Dia, (Luis) Suarez dan Coutinho? Mereka memang tidak dapat dikekang.

"Namun, apabila dia menyertai City, saya tertanya-tanya sama ada dia melakukan keputusan yang tepat kerana dia benar-benar bergelut.

"Dia mendapat kritikan hebat yang amat sukar untuk dihadapinya, namun dia terus berusaha keras dan kini layak digelar pemain terbaik tahunan," katanya.

Dengan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, City kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Skuad kendalian Guardiola itu menyasarkan empat kejuaraan musim ini dan masih bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA selepas memenangi Piala Liga Inggeris (EFL).