MANCHESTER CITY 2 WEST HAM UNITED 1

Pep Guardiola berkata ia merupakan sesuatu yang luar biasa untuk melihat standard Manchester City tidak pernah menurun sepanjang beberapa tahun ini selepas pasukannya merakamkan kemenangan 2-1 ke atas West Ham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri malam tadi.

City menewaskan Everton 3-0 dalam EPL minggu lalu sebelum mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Khamis lalu dan mengalahkan West Ham empat hari berselang.

Ilkay Gundogan membuka jaringan buat ruan rumah di bawah cuaca bersalji di Stadium Etihad sebelum pemain gantian, Fernandinho, menggandakan kelebihan itu dan Manuel Lanzini memperoleh gol sagu hati buat pelawat pada penghujung saingan.

City, yang kini tidak dibolosi sepanjang tujuh daripada lapan perlawanan liga terakhir di gelanggang sendiri, mengungguli 10 daripada 11 pertemuan terakhir dengan West Ham.

Selepas memperoleh satu lagi keputusan positif, Guardiola memuji usaha yang dilakukan pasukannya sambil percaya mereka mempunyai mentaliti kemenangan yang akan terus membantu mereka.

"Kami menghasilkan peluang yang mencukupi ke atas mereka di bawah cuaca dan keadaan seperti ini buat kedua-dua pasukan," katanya kepada BBC Sport.

"Tetapi agak mustahil untuk bermain pada 15-20 minit terakhir, terutama selepas perlawanan dengan PSG yang memerlukan banyak kekuatan mental dan fizikal, untuk mengeluarkan prestasi terbaik daripada pasukan ini, ia keputusan yang hebat buat kami.

"Gelaran EPL sentiasa menjadi paling penting setiap musim kerana berdasarkan fakta yang anda bermain banyak perlawanan dalam situasi yang istimewa, lebih banyak anda mengadaptasi dan menunjukkan dan daya tahan, kami kemudian dapat menunjukkan mentaliti seperti itu.

"Setelah kami memenangi tiga gelaran EPL sepanjang empat tahun terakhir, lebih mudah untuk ada kecenderungan untuk standard kami menurun dan berkata ia tidak lagi penting.

"Tetapi untuk berada hampir dengan puncak liga dan layak (dalam UCL) selepas enam musim bersama dan tahap (prestasinya) masih tidak berubah -- pemain kami benar-benar ajaib dan luar biasa," katanya.