SRI PAHANG 0 KUALA LUMPUR CITY 2

Kecekapan Kuala Lumpur City menghidu peluang dalam serangan balas memberi kekalahan 0-2 kepada tuan rumah, Sri Pahang, sebentar tadi.


Keadaan padang becak Stadium Darulmakmur dalam perlawanan tunda tunggal Liga Super itu menganggu kelancaran gerakan kedua-dua pasukan, tapi ketajaman Warga Kota lebih terserlah.

Kuala Lumpur kemudian menggunakan kepakaran balingan ke dalam yang jauh oleh pertahanan tengah, Giancarlo Gallifuoco, untuk menimbulkan keadaan kucar-kacir di pintu gol tuan rumah sebelum dirembat masuk Haqimi Azim Rosli.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, kemudian mengetengahkan tiga pemain di bahagian serangan sekali gus sebaik memulakan separuh masa kedua dengan memasukan Jordan Mintah, Hadin Azman dan Paulo Josue.

Usaha Sri Pahang untuk memburu gol penyamaan terencat apabila pertahanan penyandang juara Piala Malaysia itu yang rapat menyulitkan untuk mencari jalan menembusi kubu lawan.






Percaturan Hodak itu membawa kepada gol kedua yang dijaringkan oleh pemain tengah, Zhafri Yahya pada minit ke-72.

"Hari ini serba tidak menjadi dengan keadaan beck. Pemain sepenuhnya hilang arah, hilang tumpuan, hilang tujuan.

"Apabila menghadapi sebuah pasukan berpengalaman, kami nampak kecundang dengan pengalaman Kuala Lumpur," kata ketua jurulatih Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh, selepas perlawanan.

Menurut Hodak pula: "Saya rasa kemenangan 2-0 merupakan keputusan yang baik hari ini.

"Di bahagian serangan, Hakimi mengagumkan dengan baik hari ini. Kami tahu Sri Pahang gemar naik ke atas jadi ia akan meninggalkan ruang buat kami.

"Hakimi memberikan larian yang baik selain mencipta peluang.

"Dalam babak kedua Jordan Mintah juga begitu.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan corak permainan kami."