Adakah Manchester United sedang bersedia dengan kesibukan jendela perpindahan menjelang musim depan?

Selepas menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku naib juara di belakang Manchester City dan tewas dalam final Liga Europa, The Red Devils kelihatan sedang berusaha memperkuatkan pasukan mereka.

United kini dilaporkan sudah menyenarai pendek tiga pemain bintang untuk menyertai pasukan mereka.

"Manchester United menyasarkan tiga lagi pembelian pemain menjelang musim depan," demikian dilaporkan The Guardian.

Pasukan gergasi England itu sah akan membawa Jadon Sancho ke Old Trafford daripada Borussia Dortmund selepas tamat Euro 2020 tetapi pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer, kelihatan masih belum berpuas hati.

United dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, walaupun turut dikaitkan dengan pemain Villarreal, Pau Torres.

Selain itu, mereka turut dilaporkan menyenaraikan bintang Tottenham, Harry Kane, dan pemain tengah West Ham, Declan Rice, dalam pemburuan itu.

Skuad kendalian Solskjaer itu juga akan membuka perbincangan untuk melanjutkan kontrak perancang mereka, Bruno Fernandes, dalam masa terdekat ini, seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkemuka, Fabrizio Romano.