Luciano Spalletti menyifatkan dia akan kekal mengendalikan Inter Milan musim depan walaupun pengarah teknikal, Walter Sabatini, meninggalkan pasukan.

Sabatini meletakkan jawatan bersama Nerrazzurri dan pemilik kelab, Suning Group, minggu ini selepas dilaporkan kecewa dengan keadaan kewangan pasukan.

Peletakan jawatan itu menimbulkan tanda tanya terhadap masa depan Spalletti yang masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim depan.

Bagaimanapun, pengendali berusia 59 tahun itu berkata beliau akan kekal bersama Inter bagi musim 2018/19 dan berharap dapat mengemudi pasukan ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

“Isu tentang pembaharuan tidak menarik minat saya kerana saya tahu saya akan berada di sini pada musim depan. Tiada sebarang masalah yang timbul,” kata Spalletti.

“Saya sukakan Milan sebagai satu tempat dan gembira untuk terus bekerja bersama Inter. Jika kami gagal mencapai sasaran pada musim ini, kami akan meneruskannya.

“Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Sabatini kerana tahu kualiti yang dimilikinya tetapi Inter akan terus mara ke hadapan dan mengejar segala cita-cita,” katanya.

Situasi Sabatini berlaku selepas timbul persoalan tentang polisi pengambilan pemain selepas menyaksikan kehadiran pemain pinjaman seperti Rafinha dan Joao Cancelo sambil Geoffrey Kondogbia, Joao Mario dan Gabriel Garbosa diberikan jalan keluar sementara.

Bagaimanapun, Spalletti menegaskan segala perkembangan sentiasa dipantau dan bersedia membawa mereka pulang sekiranya menunjukkan prestasi baik bersama pasukan masing-masing.

“Kondogbia beraksi baik bersama Valencia. Jika mereka tidak melakukan sebarang usaha, ia terpulang kepada mereka.

“Yuto Nagatomo dan Mario juga beraksi dalam beberapa perlawanan yang menarik. Gabigo (Barbosa) mula menjaringkan gol walaupun sebelum ini ramai tidak yakin kepadanya.

“Rafinha juga menyatakan kegembiraan berada di sini dan mahu kekal.”