TOTTENHAM 6 LEICESTER 2

Son Heung-Min muncul dari bangku simpanan untuk mencetak jaringan hatrik ketika membantu Tottenham membenam Leicester City 6-2 di laman sendiri, awal pagi tadi.


Bintang Korea Selatan itu berdepan kritikan hebat berikutan masih terkial-kial mencari penyudahnya musim ini, tetapi tiga gol terakhir perlawanan yang disumbangkan sama sekali melenyapkan persoalan mengenai prestasinya.

Sehubungan itu, Antonio Conte tumpang gembira dengan penampilan anak buahnya tersebut sambil menjelaskan bahawa pendekatannya menggilirkan pemain mampu merangsang skuadnya, baik daripada segi perebutan tempat mahupun mengekal kesegaran pemain.

"Pada akhirnya seorang penyerang tetap perlu menjaringkan gol. Jika seorang penyerang tidak menjaringkan gol, keyakinannya boleh menurun dan pastinya buat Sonny, dalam tujuh perlawanan terakhir dia mempunyai banyak peluang dan tidak bernasib baik," kata pengurus berbangsa Itali itu kepada Capital Football selepas perlawanan.

"Untuk meraih keputusan seperti ini bukan mudah tetapi dalam beberapa ketika anda perlu membuat tindakan penting tetapi jika anda jujur, anda tidak akan kehilangan rasa hormat pemain anda. Setiap keputusan yang saya buat sentiasa demi yang terbaik buat pasukan."

Tottenham, bagaimanapun, dikerah pada awal permainan biarpun Harry Kane meneruskan sentuhan berbisanya pada minit ke-8 untuk memadam sepakan penalti Youri Tielemans disusuli jaringan Eric Dier dan James Maddison untuk mengakhiri separuh masa pertama 2-2.

Rodrigo Bentancur kembali meletakkan kelab London itu di depan sebaik dua minit babak kedua bersambung sebelum kemunculan Heung-Min mengubah tempo perlawanan yang menyaksikan Leicester terus terperosok di dasar liga sementara Spurs melonjak ke tangga kedua untuk mengekori rapat Manchester City.

Conte juga merancang untuk sentiasa merombak pasukannya dan menuntut pemain agar memahami keperluan itu, lebih-lebih lagi sekitar tiga bulan sebelum sepak mula Piala Dunia Qatar.




"Saya mahu membawa pasukan ini berfikir ke tahap yang lebih tinggi, bukan kekal di pertengahan. Bukan kerana mereka kekal di Tottenham dan fikir: 'Saya bermain setiap perlawanan, setiap perlawanan.' Jika ia berterusan sebegini, ini bermakna kami tidak mampu berjuang untuk sesuatu yang penting, ini pendapat saya.

"Kami baru merinstis laluan ini di kelab ini. Menerusi pemain yang ada, kami boleh menggilirkan pemain. Kami bakal mengharungi 12 perlawanan berturut-turut selepas rehat antarabangsa, maka sudah pasti saya akan membuat penggiliran.

"Kami perlu sentiasa mempunyai pasukan yang kuat kerana kami mahu berjuang dalam setiap pertandingan. Saya melakukan perkara yang sama pada masa lampau, baik di Juventus, Chelsea mahupun Inter Milan. Pada pendapat saya skuad kami belum bersedia, belum mantap berbanding dengan Man City, Liverpool dan Chelsea. Kami baru sahaja bermula.

"Tetapi jika pemain mahu bermain untuk sesuatu yang penting -- untuk menjulang trofi --mereka perlu memahami ini (keperluan menggilirkan pemain).

"Jika tidak mereka akan berterusan diturunkan setiap perlawanan tetapi bukan untuk memenangi sebarang kejuaraan. Saya mahu membawa ini pasukan ke tahap yang berbeza."