Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, dipercayai telah menghalang Donny van de Beek untuk menyertai Everton secara pinjaman, kata ejen pemain itu.

Pemain kebangsaan Belanda itu masih belum diturunkan musim ini dan hanya diletakkan di bangku simpanan sepanjang tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

Van de Beek beraksi sebanyak 19 kali dalam saingan liga musim lalu tetapi terdapat persoalan mengenai masa depannya meskipun baru setahun di Old Trafford.

Bekas pemain Ajax itu mendapat jaminan daripada Solskjaer menjelang kempen musim ini, di mana pengurus itu berkata: "Donny tahu bahawa apabila dia terus mempamerkan prestasi dan berlatih seperti yang telah dilakukannya untuk kami, dia akan cergas dan bersedia apabila diturunkan."


Berdasarkan laporan yang tersebar luas itu, Van de Beek bersedia untuk meninggalkan The Red Devils untuk menyertai Everton secara pinjaman.

Bagaimanapun, Solskjaer difahamkan telah menghalang perpindahan itu, sesuatu yang mendatangkan kekecewaan buat pemain tengah itu dan ejennya, Guido Albers.

"Manchester United telah menghalang segala-galanya," kata Albers kepada Voetbal International.

"Ini sesuatu yang mengecewakan kerana United enggan memberikan kerjasama."

Laporan itu tiba selepas The Athletic mendakwa tiada sebarang tawaran pinjaman seperti itu dikemukakan buat Van de Beek.