Liverpool memeterai perjanjian mengikat bintang Piala Dunia Bawah 21 (B-21) tahun England, Dominic Solanke.

Solanke, 19, akhirnya memuktamadkan perpindahan ke Anfield sejurus kontraknya bersama Chelsea berakhir.

Dia bersetuju menyertai Liverpool pada Mei lalu dan laporan mengatakan The Reds perlu membayar pampasan berjumlah GBP10 juta (RM55 juta) kerana dia di bawah usia 24 tahun.

"Menakjubkan kerana semua orang membuat saya dialu-alukan," katanya dalam laman sesawang rasmi kelab.

"Biarpun hanya menyarung jersi latihan, saya sudah cukup teruja. Saya berharap dapat menyarung jersi skuad utama pada masa akan datang dan melakar sejarah yang hebat di sini."

Solanke dinamakan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia B-21 selepas merakamkan empat gol untuk membantu England muncul juara di Korea Selatan, bulan lalu.

Ketika di London, produk remaja Chelsea itu hanya sempat membuat satu penampilan bersama Chelsea di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang Maribor pada 2014.