Ketua jurulatih Terengganu, Roshadi Wahab, tidak gentar untuk mempertaruhkan muka baharu dalam skuad itu bagi menghadapi saingan Piala Presiden musim hadapan, malah mahu memastikan pencapaian ke suku akhir tahun ini boleh diperbaiki.

“Hanya 14 pemain dari skuad musim ini yang dikekalkan, iaitu separuh dari senarai penuh pemain.

“Namun, pemain diingatkan bahawa mereka masih belum selamat daripada digugurkan untuk skuad 2017,” katanya selepas ditemui dalam sesi pemilihan pasukan Piala Presiden Terengganu, di Kompleks Sukan Gong Badak.

Seramai 250 pemain hadir dalam sesi pemilihan yang berjalan selama tiga hari itu untuk mencuba nasib dan menyarung jersi pasukan muda Sang Penyu.

“Saya cukup teruja dengan sambutan yang diterima, malah ada yang datang jauh dari Sarawak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.

“Setakat ini, 35 pemain sudah disenarai pendek dan mereka akan terus dinilai buat kali terakhir melalui beberapa perlawanan persahabatan yang telah diatur.

“Sudah ada bayangan kesebelasan utama, namun saya masih tercari-cari gandingan pertahanan yang berkualiti bagi menggantikan Che Mohamad Arif Che Kamarudin dan Shakir Zufayry Ibrahim yang tidak lagi bersama kami.

“Bagaimanapun, saya yakin mereka mampu mengisi kekosongan dalam pasukan kerana ramai dalam kalangan mereka sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga FAM dan Piala Belia, jadi mereka bukan calang-calang pemain.

“Memang akan ada tekanan untuk memperbaiki pencapaian suku akhir memandangkan separuh pemain adalah muka baharu, namun bakat mereka masih boleh digilap.

“Dengan bantuan pembantu baharu, Norhisham Hassan, yang juga bekas pemain negeri dan kebangsaan, kami mampu membuktikan sesuatu,” ujarnya lagi.