Skuad Harimau Malaya perlu dirombak secara menyeluruh dengan kekuatan pemain senior perlu diimbangi dengan pemain muda demi perubahan positif untuk perlawanan kedua kempen kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, September depan.

Pandangan itu disuarakan penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri.

Asmawi berasakan momentum pemain muda daripada skuad bawah 22 tahun negara mampu memberi manfaat kepada skuad kebangsaan tatkala pengalaman pemain senior juga penting untuk membimbing pasukan.

"Saya pasti bahawa Vingada akan mengambil beberapa pemain daripada skuad bawah 22 tahun untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2019," katanya.

Skuad negara gagal melakukan permulaan sempurna di bawah rejim baru Nelo Vingada selepas tewas 2-1 kepada Lubnan dalam aksi pembuka tirai kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lalu.

Kekalahan itu menyerlahkan kepincangan terhadap beberapa aspek, terutama kelemahan beraksi secara berpasukan.

"Faktor kecergasan dan fizikal merupakan halangan utama yang dapat dilihat ketika Malaysia tewas kepada Lubnan," tambahnya.