Pengurus Argentina, Jorge Sampaoli, menyifatkan skuad bimbingannya adalah "pasukan Lionel Messi" menjelang saingan Piala Dunia 2018 di Russia.

Kejayaan Messi di peringkat kelab tidak dapat disamakan ketika beraksi di arena antarabangsa selepas terlepas peluang meraih gelaran juara Piala Dunia 2014 dan dua kejuaraan Copa America, ketiga-tiganya terkandas di pentas final.

Argentina bakal menentang Itali dalam aksi persahabatan di Manchester awal pagi esok sebelum meneruskan perlawanan pemanas badan bertemu Sepanyol dan Sampaoli mendedahkan bahawa dia memilih pemain berdasarkan kriteria yang dilihat mampu membantu Messi sampai ke tahap terbaik.

"Setiap kali beraksi, dia tampil lebih baik. Mungkin sesuai jika disebut sebagai pasukan Messi.

"Apabila memiliki seorang pemain terbaik dunia di atas padang, ia memerlukan pelbagai cara untuk membangunkan seluruh pasukan," kata Sampaoli.

"Kami harus melihat pemain mana yang mampu mencipta kombinasi yang baik bersama Messi. Dalam sesi latihan, keutamaan diberikan lebih kepadanya untuk membuatkan dirinya sentiasa terbuka bersama setiap pemain.

"Keadaan Messi di sini membuatkan kami boleh melakukan banyak pendekatan. Sebab itu saya memilih untuk mendapatkan pemain yang sesuai dengannya."