Hubungan tegang di antara Robert Lewandowski dan Bayern Munich masih boleh diperbetulkan, kata pengarah sukan kelab itu, Hasan Salihamidzic.

Dengan kontrak yang hanya berbaki setahun, Lewandowski telah mengumumkan keinginannya untuk meninggalkan Bayern pada penghujung musim 2022-23.

Penyerang prolifik itu berkata ada "sesuatu yang telah mati" di antara dia dan kelab gergasi Bavaria itu, yang dilaporkan akan menolak tawaran bernilai €40 juta (RM185.12 juta) daripada Barcelona untuk mendapatkan pemain berusia 33 tahun berkenaan.

Salihamidzic berkata kepada Sky bahawa dia telah mengadakan "perbincangan yang baik" dengan Lewandowski dan ejennya, Pini Zahavi, di Mallorca minggu lalu, di mana Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, turut hadir dalam perbincangan itu.

Perbincangan berkenaan membuatkan Salihamidzic optimis bahawa hubungan di antara kelab dan pemain berkenaan dapat dipulihkan.

"Saya yakin (ia boleh diperbetulkan). Dia seorang yang profesional dan mempunyai objektif dalam kariernya. Kerana itulah ia boleh diperbaiki.

"Sehingga saat ini, ia 100 peratus (bahawa dia akan kekal). 12 Julai ini merupakan hari pertama latihannya, jadi saya menjangkakan dia akan hadir.

"Tetapi saya tidak menyelesaikannya buat ketika ini kerana dia ada perkara lain untuk dilakukan. Ia menjadi lebih senyap. Kami masih ada banyak perkara untuk dilakukan.

"Saya tidak pernah menyelesaikan perkara yang masih diperkatakan ketika ini. Apa yang boleh saya ulangi, dia masih ada kontrak sehingga 2023. Dia dialu-alukan untuk ke Munich pada 12 Julai ini dan akan berada di sana untuk sesi latihan pertama -- sekurang-kurangnya saya mengharapkannya.

"Kami memiliki perbincangan yang baik (di Mallorca). Kami berbincang dan kedua-dua pihak menjelaskan mengenai posisi masing-masing tetapi kami tidak mahu mendedahkan butirannya. Apapun ia perbincangan yang baik," katanya.

A post shared by Robert Lewandowski (@_rl9)