GETAFE 1 ATLETICO MADRID 2

Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, berkata pasukan juara bertahan LaLiga itu kini berbeza dengan pasukan yang dahulunya ditinggalkan Antoine Griezmann dan menuntut penyerang Perancis itu untuk bersabar menghadapinya.

Griezmann dikeluarkan pada minit ke-67 ketika Getafe mendahului 1-0 dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi sebelum Luis Suarez menjaringkan dua gol bagi melengkapkan kebangkitan sempurna Atletico di Coliseum Alfonso Perez.

Pemain kebangsaan Perancis itu sudah melakukan empat penampilan sejak kembali menyertai Atletico daripada Barcelona -- selepas meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Blaugaran pada 2019 -- tetapi masih belum menemui sebarang jaringan.

"Ia sesuatu yang normal. Dia amat bersemangat dengan kepulangannya," kata Simeone selepas perlawanan itu.

"Dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan Atletico yang ini, di mana ia tidak sama seperti yang ditinggalkannya dahulu tetapi saya tidak meragui bahawa dia akan beraksi seperti apa yang kami harapkan. Kami amat bertuah dapat memilikinya.

"Atletico menghasilkan perkara berbeza musim lalu... kini kami faham bahawa pemain yang kami ada bersesuaian dengan sistem yang kami ada.

"Pasukan ini mempunyai lebih banyak permainan asosiatif. Kami berada di landasan untuk semua orang dapat menyesuaikan diri, bukan sekadar Griezmann, Rodrigo juga begitu. Hari ini, dia beraksi dengan amat baik. Kehadirannya memberikan kami lebih keseimbangan," katanya.

Keputusan itu menyaksikan Atletico memintas Real Madrid untuk menduduki tangga teratas liga dengan 14 mata daripada enam perlawanan walaupun Los Blancos mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan menjelang aksi menentang Real Mallorca awal pagi esok.

Bagaimanapun, Simeone mengakui pasukannya masih belum menemui prestasi terbaik.

"Kami masih berada pada awal musim. Terdapat banyak perkara yang perlu diatasi pasukan ini, di mana pasukan ini masih belum menjadi seperti yang kami inginkan. Kami akan berdepan lawan yang sukar, yang tidak mahu tewas dan berbahaya sepanjang musim ini," katanya lagi.