VALENCIA 3 ATLETICO MADRID 3

Diego Simeone memikul tanggungjawab sepenuhnya selepas Atletico Madrid mensia-siakan kelebihan 3-1 untuk terikat 3-3 menerusi dua gol waktu kecederaan Valencia dalam perlawanan LaLiga di Estadio de Mestalla lewat malam tadi.

Atletico mendahului 3-1 selepas setengah jam dan kekal di kedudukan itu sehingga minit kedua waktu kecederaan sebelum Hugo Duro merapatkan jurang buat tuan rumah.

Pemain gantian Valencia itu mengulangi perkara sama berselang empat minit untuk menyamakan kedudukan secara dramatik dengan menyudahkan umpanan sepakan percuma Goncalo Guedes untuk menewaskan Jan Oblak dari jarak dekat.

Simeone enggan menyalahkan mana-mana pemainnya di atas kealpaan itu dan sebaliknya menyalahkan dirinya sendiri selepas pasukannya mensia-siakan kelebihan dua gol pada saat-saat akhir.

"Pemain saya bermain dengan luar biasa sepanjang 80 atau 85 minit," kata Simeone kepada Movistar selepas perlawanan itu.

"Malangnya mata itu tidak lagi dapat dikembalikan.

"Pada akhirnya, mereka telah mempertaruhkan segala-galanya dalam gerakan set piece. Mereka bersedia dan amat fokus dan ia satu keputusan seri selayaknya buat Valencia.

"Apa yang saya perlu katakan, saya akan katakan dalam bilik persalinan. Amat sukar untuk kehilangan mata seperti itu, kesilapan akan menghukum anda dalam bola sepak.

"Ia perlawanan yang hebat dan amat bagus sepanjang 80 hingga 85 minit.

"Perwatakan yang hebat dan malangnya, adakala kami betul dan hari ini kami silap.

"Ia kesilapan jurulatih. Saya melakukan kesilapan dalam situasi perlawanan.

"Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain, jika anda perlu menyalahkan seseorang, ia adalah jurulatih dan bukannya pemain," katanya.

Keputusan seri itu bermakna Atletico kehilangan rentak untuk mempertahankan kejuaraan LaLiga dengan mereka kini berada di tangga keempat di belakang Real Sociedad, Real Madrid dan Sevilla.

Skuad kendalian Simeone itu akan meneruskan perjuangan mereka dengan menantikan kunjungan Osasuna selepas waktu rehat antarabangsa pada 20 November ini.