Nacho Fernandez menegaskan ia adalah perkara biasa apabila rakan sepasukannya di Real Madrid, Cristiano Ronaldo, berasa berang apabila digantikan.

Bintang Portugal itu kelihatan tidak berpuas hati apabila dibawa keluar pada babak kedua dalam kemenangan 2-1 LaLiga ke atas Athletic Bilbao.

Media Sepanyol melaporkan Ronaldo telah membantah tindakan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, dengan mengeluarkan kata-kata kurang sopan, "Mengapa saya?" sambil berjalan keluar meskipun ketua jurulatih itu kemudian menafikan bahawa penyerang berusia 32 tahun itu amat kecewa.

Nacho berkata mana-mana pemain lain akan bertindak balas dengan cara sedemikian apabila mereka dikeluarkan dengan memberitahu Deportes Cope: "Ia adalah perkara biasa untuk Cristiano berasa marah apabila digantikan, seperti Isco atau sesiapa sahaja.

"Ia penting kerana ia watak yang baik."

Nacho turut memuji trio serangan 'BBC', iaitu Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale selepas mempamerkan prestasi mantap dalam kemenangan hujung minggu lepas.

"BBC adalah sangat penting," katanya.

"Mereka telah memberikan kami trofi. Mereka mungkin mempunyai detik yang baik dan ada kalanya sedikit lebih buruk tetapi bagi kami, BBC adalah penting."

Keylor Navas merupakan seorang lagi pemain yang menarik perhatian ketika berdepan anak buah Ernesto Valverde apabila menafikan percubaan pada babak kedua oleh Inaki Williams selain beberapa tindakan menyelamat yang lain.

Terdapat suara yang menuntut pemain antarabangsa Costa Rica itu agar digugurkan selepas beberapa persembahan tidak menentu tetapi Nacho percaya dia telah menunjukkan ketabahan mental yang hebat semasa mengharungi detik sukar.

"Dia pernah berkata bahawa pemain Madrid sentiasa menjadi perhatian dan ia benar," kata pemain pertahanan Sepanyol itu.

"Apabila anda mengharungi permainan yang tidak begitu baik, anda menjadi sasaran kritikan.

"Keylor sangat tenang, dia sentiasa bekerja keras setiap hari. Kita semua akan mempunyai hari buruk. Dia kelihatan kuat pada pandangan saya. Anda perlu kuat dari segi psikologi dan Keylor telah membuktikannya.

"Dia tampil dengan sangat baik dalam dua perlawanan supaya dia boleh berehat seketika bersama pasukan kebangsaan."