Sikap tidak mementingkan diri yang diperlihatkan Sadio Mane telah meningkatkan keinginan Julian Nagelsmann dan Bayern Munich untuk mendapatkan penyerang itu daripada Liverpool.

Bayern melengkapkan perpindahan bernilai €41 juta (RM190.78 juta) untuk mendatangkan Mane ke pasukan itu malam tadi, di mana pemain kebangsaan Senegal itu menandatangani kesepakatan selama tiga tahun di Arena Allianz.

Pemain berusia 30 tahun itu memberitahu media sewaktu majlis pengenalannya bahawa dia gembira untuk bermain di tiga atau empat posisi tetapi keputusan itu hanya akan ditentukan oleh Nagelsmann.

Semangat sepasukan seperti itulah yang memikat Bayern untuk mendapatkan bekas bintang Liverpool berkenaan.

"Sejak daripada perbincangan pertama, dia telah menunjukkan sikap tidak mementingkan diri, di mana ia sesuatu yang amat luar biasa untuk seorang pemain bintang sepertinya," kata Nagelsmann dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Dia bercakap secara sederhana bahawa dia dapat membayangkan dirinya bermain di mana-mana posisi.

"Amat jarang untuk melalui perkara itu dalam perbincangan pertama, di mana pemain meletakkan keseluruhan dirinya untuk berkhidmat buat kelab dan jurulatih.

"Ia membuatkan keinginan kami untuk mendapatkan pemain sepertinya kian meningkat.

"Kami perlu menunggu apa yang akan berlaku dalam perpindahan pemain tetapi Sadio seorang pemain yang dapat beraksi di empat atau lima posisi dengan mudah -- dan juga boleh menukar posisi sewaktu dalam permainan," katanya.