Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas -- pepatah itu tepat sekali menggambarkan 'Si Istimewa', Jose Mourinho.

Sejak mengejutkan dunia bola sepak hampir 18 tahun lalu menerusi kejayaannya memimpin Porto menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL), hampir seluruh liga-liga ternama dalam kancah Eropah telah diterajuinya dan pelbagai nama besar telah dia kendalikan.

Namun, jika diimbas kembali tempoh sekitar enam tahun lalu, ia boleh dikatakan satu jangka masa yang tidak begitu indah buat Mourinho.

Kejayaan merangkul trofi Liga Europa bersama Manchester United pada musim pertamanya, diikuti pula oleh dua musim kurang memberangsangkan dan penuh kontroversi, ia diakhiri dengan pemecatannya pada Disember 2018.

Perjalanannya yang berikut bersama Tottenham Hotspur pula lebih memeritkan apabila dia dipecat hanya beberapa hari sebelum pasukannya dijadualkan bertembung dengan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Ogos 2021 menyaksikan kembalinya Mourinho ke Itali sejak tahun 2010, kali ini untuk memimpin pasukan AS Roma.

Biarpun disajikan dengan skuad yang tidak begitu mantap, pembaharuan demi pembaharuan dia lakukan dengan penuh sabar dan tegas.




Sebagai contoh, sistem pertahanan tradisional Roma digantikan dengan formasi 3-6-1 demi memperoleh dominasi di bahagian tengah.

Henrikh Mkhitaryan dan Chris Smalling -- dua pemain yang pernah bertelagah dengan Mourinho sewaktu bersama Manchester United -- diminta untuk melupakan sejarah silam dan diberikan kepercayaan memainkan peranan penting dalam mengemudi bahagian masing-masing.

Lorenzo Pellegrini dan Nicola Zalewski dilihat semakin matang dan maju di bawah tunjuk ajarnya dan berkembang menjadi pemain penting dalam pasukan.

Dan jika disebutkan tentang perkembangan dan kemajuan, semestinya contoh terbaik adalah penyerang muda England, Tammy Abraham, yang mengakhiri musim dengan 25 gol dalam 49 penampilan secara keseluruhan.

"Saya lebih berasakan diri saya adalah seorang jurulatih pada saat ini berbanding dengan 10 atau 20 tahun dahulu," ujar Mourinho dalam temu bual bersama laman sesawang football.london.

Usaha yang dicurahkan bersama Roma ternyata bukan sahaja caranya untuk menegaskan bahawa dirinya masih relevan dan berkeupayaan, tetapi sesuatu yang ikhlas dari hati -- suatu keinginan untuk membawa kemenangan kepada sebuah kelab yang telah lama tidak mengecapinya.




Air mata terharu yang berlinangan sewaktu Roma mengesahkan tempat ke peringkat akhir Liga Persidangan Europa (UECL) seharusnya lebih daripada cukup sebagai bukti.

Kejayaan Roma menewaskan Feyenoord dalam perlawanan akhir yang menyusul pastinya terasa cukup manis, bukan sahaja buat Mourinho, tetapi untuk kesemua peminat Roma yang begitu lama ternanti-nanti.

Ini adalah hasilnya apabila seorang pengurus diberikan kepercayaan penuh, waktu untuk memperbaiki pasukan dan meraih kasih sayang daripada pemain-pemainnya.

Inilah hasil sentuhan ajaib 'Si Istimewa'.

Tidak menghairankan beberapa hari lalu, Paris Saint-Germain (PSG) diura-urakan berminat untuk menjadikan Mourinho sebagai pengganti buat pengurus mereka, Mauricio Pochettino, yang ternyata gagal untuk membawa kejayaan kepada pasukan setakat ini.

Ura-ura itu ditidakkan oleh Mourinho semalam sambil menegaskan dia masih komited dengan projeknya untuk terus memperkuatkan Roma. Malah, pihak pengurusan Roma sendiri turut menyatakan yang mereka bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada Mourinho melalui pembelian pemain yang bersesuaian untuk memperkukuhkan lagi pasukan.

Petikan berikut menerusi temu bual bersama The Daily Mail seharusnya menggambarkan betapa gembiranya Mourinho di saat ini: "Kejayaan merangkul trofi bersama Roma membuatkan saya tidak lagi ego seperti dahulu, saya telah menjadi seseorang yang lebih mementingkan perasaan pihak lain berbanding diri saya sendiri.”

Perjalanan Mourinho ternyata masih jauh daripada selesai.