Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC tekad untuk mengakhiri badi di gelanggang keramat Stadium Darul Aman apabila turun berdepan Penang FC esok.

Keazaman itu disuarakan penggempur utamanya, Kpah Sean Sherman, ketika memberi perkongsian lanjut kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Kedah memiliki rekod kurang cemerlang di laman sendiri apabila tewas tiga kali berbanding sekali di tempat lawan musim ini.

Terbaru, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak, tewas 4-2 kepada Selangor FC Jumaat lalu sekali gus merekodkan dua kekalahan berturut-turut.

Namun, Sherman percaya pasukannya mampu bangkit untuk kembali menghidupkan persaingan merebut sekurang-kurangnya kedudukan kedua liga.

"Kami perlu bangkit dan bermain dengan baik bagi mendapatkan keputusan yang baik selepas tewas tiga kali di tempat sendiri. Kami masih banyak peluang dan perlawanan untuk bangkit," kata Sherman.

"Selepas berehat panjang tanpa aksi kompetitif, ia boleh menjejaskan prestasi mana-mana pasukan jadi kami perlu mendapatkan kemenangan pertama sekaligus meneruskan rentak cemerlang."

Kedah bagaimanapun berdepan tugas sukar kerana Penang FC berada dalam momentum baik menerusi rekod tiga perlawanan berturut-turut tanpa kalah.

Malah, skuad Lang Merah juga tempang susulan kehilangan Renan Alves yang digantung perlawanan ekoran layangan kad merah ketika bertemu The Red Giants.