Kepulangan semula bekas kapten negara, Safiq Rahim, ke pangkuan skuad Harimau Malaya mengundang keterujaan ramai pihak terutama peminat nombor satunya, Sharul Nazeem Zulpakar.

Pertahanan muda Selangor itu berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, yang menganggap kehadiran pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut mampu memberi impak berbeza kepada skuad bimbingan Kim Pan-gon walaupun sudah empat tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa.

"Bagi saya barisan kali ini terdiri daripada pemain yang bagus. Safiq Rahim juga kembali bermain untuk pasukan negara.

"Mungkin perlawanan boleh jadi lain dan kita dapat lihat gabungan pemain muda dan lama.

"Kini ada rezeki buat saya untuk beraksi bersamanya.

"Saya akan tuntut (ilmu), belajar daripada mereka," katanya.




Apa pun, Afro tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila mengharapkan panggilan skuad kebangsaan dapat dimanfaatkannya sebaik mungkin.

Ia susulan pemain berusia 23 tahun itu kempunan untuk mewakili negara bagi aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan yang lalu gara-gara kecederaan.

"Saya tak boleh nak ulas sebab segala keputusan terpulang kepada jurulatih.

"Ia juga bergantung kepada corak permainan kerana setiap pemain memiliki karakter tersendiri.

"Pemain senior ada pengalaman, mungkin saya ada kekurangan di situ tetapi saya akan tetap bersaing bagi menempatkan diri dalam senarai 25 pemain," katanya lagi.