Pemain tengah Colombia, Fredy Guarin, telah menandatangani kontrak baru bersama pasukan Liga Super China, Shanghai Shenhua, semalam dan menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu akan kekal sehingga 2019.

Lebih bermakna, kontrak baru itu diraih pada hari ulang tahun kelahirannya dan disusuli dengan dua jaringan ketika membantu skuad kendalian Gustavo Poyet itu menewaskan Liaoning Kaixin 8-1.

“Guarin telah membuktikan dia seorang pemain yang hebat ketika menyerang dan juga bertahan.

“Kami berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan demi membawa kegembiraan buat penyokong-penyokong kami,” katanya dipetik dari laman web rasmi pasukan.

Guarin menyertai Shenhua dari kelab Serie A, Inter Milan, pada Januari tahun lalu selepas melengkapkan perpindahan bernilai EUR11 juta.

Sebelum itu, Guarin berjaya menjulang kejuaraan Liga Europa ketika bersama kelab Portugal, Porto, pada tahun 2011.

Ketibaannya memberikan impak besar buat pasukan Shenhua, dengan membantu menamatkan Liga Super musim lalu di tangga keempat.