Sevilla memecat Vincenzo Montella dan mengesahkan pelantikan Joaquin Caparros sebagai jurulatih sementara bagi baki musim ini.

Pemecatan Montella diumumkan malam tadi apabila pengurus kelahiran Itali itu terpaksa membayar dengan harga mahal selepas mengharungi sembilan perlawanan tanpa kemenangan sejak kemenangan dalam Liga Juara-Juara ke atas Manchester United pada 13 Mac lalu.

Berikutan kemenangan mereka di Old Trafford, Sevilla disingkirkan oleh Bayern Munich sebelum kedudukan mereka merosot ke ke tangga ketujuh LaLiga. Malah, mereka dibelasah 5-0 oleh Barcelona dalam final Copa del Rey minggu lalu.

Atas alasan itu, Sevilla mengambil tindakan drastik memecat Montella dan tugas itu kini dipikul sementara oleh Caparros -- yang sebelum ini pernah mengurus kelab itu dari 2000 hingga 2005 -- dalam usaha memburu tiket Liga Europa.