Bekas pemain tengah Penang FC, Azrie Reza Zamri, menganggap keputusannya ke pasukan Liga Perdana, PDRM FC dari skuad Harimau Kumbang itu secara pinjaman sebagai satu rahmat.

Anak jati Pulau Pinang itu mengakui langkah tersebut bukan sahaja demi kelangsungan kariernya, malah memberi peluang untuk mengikut jejak ayahnya sebagai anggota polis.

"Saya melihat menyertai PDRM membuka peluang untuk saya beraksi bersama PDRM dan jika tiada lagi peluang untuk beraksi, saya dapat menyertai anggota polis," kata Azrie.

"Ayah juga merupakan seorang anggota polis dan saya mungkin mengikut jejak langkahnya untuk menjadi salah seorang anggota polis."