CREMONESE 0 AC MILAN 0

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, kecewa apabila pasukannya terikat 0-0 dengan Cremonese dalam perlawanan Serie A di Stadio Giovanni Zini awal pagi tadi.

Prestasi menakjubkan penjaga gol Cremonese, Marco Carnesecchi, menyaksikan dia menggagalkan deretan percubaan Milan sepanjang babak pertama, antaranya melalui Divock Origi dan Junior Messias.

Selepas Milan mendominasi keseluruhan separuh masa pertama, Origi menyangkakan dia telah memecahkan kebuntuan jaringan buat pelawat sebaik perlawanan bersambung tetapi semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia terlebih dahulu berada di posisi ofsaid.

Cremonese kemudian kental bertahan sehingga ke hujung permainan untuk meraih satu mata dan menghalang Milan daripada mengekori rapat pendahulu liga, Napoli, yang menang 2-0 ke atas Empoli dalam perlawanan lebih awal.

Dalam percubaan mereka mempertahankan gelaran juara musim lalu, pasukan bimbingan Pioli itu kini ketinggalan lapan mata di belakang Napoli dan pengendali itu jelas kecewa dengan aksi dipamerkan pasukannya, yang gagal mengutip tiga mata penuh buat kali keempat daripada tujuh perlawanan di gelanggang lawan musim ini.

"Kami sepatutnya melakukan yang lebih baik malam ini," kata Pioli kepada DAZN.

"Kami bermain dengan baik dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, ia di bawah par.

"Kami tidak dapat mencipta sesuatu yang cukup berbahaya. Dengan kualiti yang kami ada, kami boleh melakukan yang lebih baik walaupun hanya ada sedikit ruang yang diberikan Cremonese.

"Dalam babak kedua, hanya terdapat sedikit kelancaran dan kejelasan. Kami hanya dapat memenangi sedikit pertembungan di bahagian serangan dan ia menjadi sukar untuk menjaringkan gol," katanya.