Stefano Pioli percaya Milan pastinya berkeupayaan mengatasi kemerosotan mereka kebelakangan ini malah mampu mempertahankan gelaran Serie A jika bukan kerana musim luar biasa dipamerkan Napoli.

Milan berada di tangga keempat selepas mengharungi lima perlawanan liga tanpa kemenangan sepanjang bulan lalu dan permulaan awal bulan ini.

Tahun lalu, skuad Rossoneri di kedudukan ketiga sebelum memacu kejuaraan Scudetto.

Pioli yang hadir menerima penghormatan tertinggi di Panchina d'Oro -– anugerah kejurulatihan bola sepak Itali -– malam tadi sebagai pengiktirafannya membantu kejayaan menakjubkan Milan itu.

Begitupun, pengurus tersebut sedar kejayaan manis itu tidak akan berulang musim ini memandangkan pendahulu, Napoli, berada di hadapan berbekalkan 18 mata.

Walaupun Milan dibezakan lima mata berbanding kedudukan mereka selepas 23 perlawanan dalam musim 2021-22, mereka hanya mengekori Inter yang ketika itu mengisi kedudukan kedua dengan dipisahkan tiga mata.

Justeru, Pioli akur bahawa Napoli jelas dalam kelas berbeza musim ini.

"Kami berada di landasan yang tepat sebelum mengalami kemerosotan," katanya kepada pemberita di Coverciano.





“Bagaimanapun, kami akan tetap berada di kedudukan perebutan liga andai Napoli tidak mempamerkan musim menakjubkan.

“Kita perlu bersikap jujur dengan mengakui bahawa Napoli sedang menonjolkan sesuatu yang luar biasa, kita mesti mengucapkan tahniah kepada mereka.

"Jika tidak, semua pencabar lain seperti kami masih akan saling merebut gelaran berdasarkan perbezaan beberapa mata seperti musim lalu."