INTER 5 UDINESE 1

Romelu Lukaku menuntut dominasi berpanjangan Inter dalam Serie A selepas menamatkan kejayaan kempen 2020/21 dengan kemenangan 5-1 ke atas Udinese, tengah malam tadi.


Inter mengesahkan posisi di puncak dengan baki empat perlawanan sebelum meraikan trofi liga itu dengan kemenangan hebat di hadapan 1,000 penyokong di San Siro.

Kemenangan itu menyaksikan mereka memperoleh lebih 90 mata buat kali kedua (selepas 2006-07), sementara Antonio Conte muncul pengurus pertama yang melakar gemilang bersama dua kelab Serie A yang berbeza sejak era tiga mata.

Ashley Young meletakkan Nerazzurri di depan seawal minit ke-8 disusuli sentuhan berbisa Christian Eriksen, Lautaro Martinez dan Ivan Perisic untuk memastikan kemenangan bergaya itu.

Lukaku, yang masuk sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua, turut meledak gol apabila hantaran silang Alexis Sanchez yang terkena tiang melantun ke badannya lalu bergolek masuk.

Ia adalah gol ke-30 penggempur itu musim ini sementara jaringannya yang ke-24 dalam liga -- jaringan terbanyak sebelum ini (25) dirakamkan di Everton pada 2016.

Roberto Pereyra kemudian menyempurnakan sepakan penalti sebagai gol sagu hati buat Udinese tetapi ia langsung tidak menggugat perayaan Nerazzurri sambil peminat juga berkumpul di luar stadium.

Selepas menafikan Juventus untuk Scudetto ke-10 berturut-turut, Lukaku menggesa Inter agar tidak mengendurkan usaha itu pada musim depan.

"Saya harap kejayaan ini boleh menjadi titik permulaan (era kegemilangan Inter). Sekarang saya akan menyertai Kejohanan Euro 2020 bersama negara saya (Belgium) dan sebaik kami melaporkan diri, kami harus menjadi lebih mantap daripada sebelumnya," kata penyerang itu kepada DAZN.

"Tahun ini sangat indah buat kami memandangkan kami telah bekerja keras untuk memenangi Scudetto ini. Musim lalu kami begitu hampir tetapi tahun ini kami beraksi dengan baik, secara fizikalnya kuat. Kami semua mempamerkan kemajuan.

"Saya sangat bangga mewakili pasukan ini."





Lukaku mengenakan t-shirt peribadi dengan gambar datuk dan neneknya sebelum menitiskan air mata ketika meraikan trofi utama dalam kariernya.

"Saya tidak mahu menangis hari ini tetapi emosi ini terlalu kuat. Foto ini adalah nenek dan datuk saya, saya terkenangkan mereka," katanya lagi.

"Ketika datuk saya meninggal pada 2005, saya berjanji kepadanya bahawa saya akan memenangi sekurang-kurangnya sesuatu dalam karier saya. Saya melakukannya hari ini dan saya benar-benar gembira."