INTER MILAN 1 TORINO 0

Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, lega apabila pasukannya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Torino dalam perlawanan Serie A di Stadio Giuseppe Meazza awal pagi tadi.

Gol sepakan voli Marcelo Brozovic pada minit ke-89 sudah cukup untuk memastikan tiga mata penting itu buat Nerazzurri.

Dengan kemenangan itu Inter kini berada di tangga keempat liga dengan 12 mata daripada enam perlawanan dan hanya ketinggalan dua mata berbanding dua pasukan teratas, Napoli dan AC Milan.

"Ia satu kemenangan yang amat penting, kami mahukannya walau apa pun terjadi, kami bermain secara berpasukan menentang pasukan yang amat sukar untuk ditangani," katanya kepada DAZN.

"Kami sedar kami perlu menderita hari ini, penyokong kami ada di belakang kami sehingga ke penghujungnya.

"Saya sukakan semangat itu kerana perlawanan seperti ini amat-amat penting untuk dimenangi.

"Saya mahukan kemenangan ini untuk kami kembali ke landasan kemenangan.

"Kami tahu tekanannya adalah sentiasa untuk memenangi perlawanan, malangnya kami tewas kepada Bayern Munich (dalam Liga Juara-Juara Eropah) minggu ini, di mana mereka merupakan pasukan terbaik dunia daripada segi keamatan.

"Melihat pasukan ini bekerjasama melalui keadaan yang sukar, ia merupakan sesuatu yang amat melegakan bagi setiap jurulatih," katanya.