INTER 0 EMPOLI 1

Simone Inzaghi menuntut Inter agar melupakan kekalahan mengejut kepada Empoli sambil menegaskan bahawa Nerazzurri akan terus berusaha melengkapkan misi menjulang Serie A.


Inter kekal 13 mata di belakang pendahulu, Napoli, berikutan tumbang 0-1 di tempat sendiri, awal pagi tadi, yang menyaksikan Milan Skriniar dilayangkan kad merah dalam separuh masa pertama.

Empoli nyata lebih menyerlah untuk kemenangan itu, lantas pengurus tersebut sedar mereka perlu segera mengalihkan perhatian kepada perlawanan seterusnya.

“Kami perlu melupakannya dengan segera,” katanya pengurus Inter itu.

“Kami akan menghadapi satu lagi perlawanan sukar dan kami perlu melupakannya serta-merta, terus memandang ke hadapan.

"Sudah tentu, kami akan menganalisa kesilapannya tetapi kami perlu memikirkan perlawanan seterusnya."

Tatkala memasuki pertengahan kempen, Inzaghi mengakui Inter harus meningkatkan mutu permainan mereka.

“Ini adalah kekalahan yang memilukan,” katanya kepada DAZN.




“Kami menamatkan separuh pertama musim ini dengan 37 mata dan timbul banyak kekesalan.

"Sekarang, kami tahu kami perlu melakukan yang lebih baik lagi dalam bahagian kedua saingan."

Bagaimanapun, pemain tengah, Hakan Calhanoglu, kekal optimis mengenai peluang Scudetto mereka apabila berkata dalam satu temu bual dengan Sky Sport: "Ketinggalan 13 mata kepada Napoli adalah jurang yang besar tetapi kami perlu meneruskan perjuangan dan tidak berhenti.

"Saya tahu ia sukar untuk dipercayai, tetapi perjalanan masih lagi jauh untuk ditempuhi."