Dusan Vlahovic harus kekal di Juventus walaupun Bianconeri gagal layak ke Liga Juara-Juara (UCL), menurut pengarah Lecce, Pantaleo Corvino.

Kecederaan telah membatasi penampilan Vlahovic kepada hanya 12 perlawanan Serie A musim ini, tetapi dia muncul penjaring terbanyak Juve dengan lapan gol.

Penyerang Serbia itu menyumbat dua gol dan mencipta satu gerakan jaringan dalam kemenangan pertengahan minggu ini di Salernitana dan sudah pasti berharap untuk menambah lebih banyak bilangan gol lagi ketika menentang bekas kelabnya, Fiorentina, awal pagi esok.

Begitupun, Juventus hanya dua mata mendahului La Viola selepas pemotongan 15 mata berikutan siasatan terhadap urusan perpindahan lalu.

Bianconeri mempunyai jurang 14 mata besar dalam misi merebut kelayakan ke UCL, maka tidak hairanlah andai Vlahovic mengintai pasaran musim panas.

Bagaimanapun, bekas pengarah Fiorentina Corvino, yang membantu membawa penyerang itu ke Itali pada 2018 menggesa Vlahovic supaya kekal di Turin.

"Adakah anda bergurau dengan saya? Dusan tidak bersedia untuk dibincang," katanya kepada La Gazzetta dello Sport.



"Bagi Vlahovic, selain jumlah pampasannya yang tinggi, bakatnya mencerminkan dirinya.

"Dia seorang penyerang tengah yang lengkap, dia mempunyai kekuatan fizikal, cekap menghidu gol, teknik yang baik, pergerakan dan kemahiran di udara.

"Apatah lagi dia masih muda. Saya menasihatinya agar kekal di Turin walaupun tanpa UCL. Juve sentiasa Juve, mereka akan bangkit. Dan selepas ribut, ketenangan akan sentiasa tiba."

Sementara itu, Paul Pogba memerlukan sekurang-kurangnya 20 hari lagi untuk menamatkan penantian kemunculan semulanya sejak dibelenggu kecederaan pada musim panas lalu.

"Pogba tidak dapat disenaraikan. Ketika ini dia sedang membuat persediaan.

"Ia bukan kecederaan terbaru. Ia berkenaan mencari rentak dan kecergasan semula. Dia bertungkus-lumus untuk sedia membuat kemunculan.

"Dia berusaha untuk diturunkan. Buat masa ini, saya tidak dapat memberitahu anda bilakah dia akan kembali. Mungkin dalam tempoh 20 hari," kata pengurus, Massimiliano Allegri.